KUALA LUMPUR 15 Sept.- Kementerian Kesihatan mengesahkan wabak beguk di negara ini masih terkawal dan jangkitan dalam kalangan atlet Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak, tidak serius.
Timbalan Menterinya, Dr. Lee Boon Chye berkata, ini kerana beguk merupakan penyakit-berjangkit yang mudah untuk sembuh iaitu dalam tempoh lapan ke sembilan hari selepas jangkitan.
Katanya, setakat ini, bagi temasya Sukma 2018, hanya seorang atlet futsal dari Sabah dan seorang peserta boling padang
dari Negeri Sembilan sah dijangkiti penyakit berkenaan.

“Kami mendapati 11 lagi ahli pasukan futsal dari Sabah itu mengalami simptom-simptom yang sama seperti penyakit beguk manakala 24 lagi atlet telah dikuarantin selama 25 hari bagi mengelakkan penularan penyakit berkenaan.
“Namun, wabak penyakit ini masih terkawal dan tindakan pencegahan dan kuarantin telah diambil,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Saintifik Tahunan Persekutuan Persatuan Doktor Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) kali kedua di Hotel Sunway Putra di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis ialah Pengerusi Penganjur Konvensyen itu, Dr. Steven Chow. – UTUSAN ONLINE











