KUALA LUMPUR 15 Sept. – Bukan setakat beriadah dengan motosikal, Kelab Permotoran Raiders Malaysia (Raiders Malaysia) akan melakukan kerja-kerja amal semasa berkonvoi.
Aktiviti sedemikian dirancang selepas kelab permotoran itu menjalin kerjasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) sebagai Rakan Sukarelawan Coop Malaysia.
Presiden Raiders Malaysia, Ahmad Rithaudden Abd. Razak berkata, sebagai projek rintis, pihaknya akan menjalankan kerja-kerja baik pulih sebuah surau di Jerantut, Pahang, tidak lama lagi.
“Perancangan awal kami selepas ini adalah menyediakan aktiviti-aktiviti kesukarelawanan yang ditunjangi Angkasa.
“Kami mahu memainkan peranan penting sebagai kelab permotoran yang prihatin dengan tanggungjawab sosial korporat (CSR), bukan riadah sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Angkasa yang diwakili Naib Presidennya, Mohamad Azmi Omaruddin di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Yang turut hadir ialah Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Timbalan Presiden Raiders Malaysia, Mohd. Yusof Ahmad.
Video Ihsa Raiders Malaysia
Menurut Ahmad Rithaudden, beliau yakin dengan komitmen kira-kira 300 ahli kelab yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk profesional seperti jurutera, juruteknik dan sebagainya, kerja-kerja amal sedemikian mampu dilaksanakan dengan lebih jaya bagi membantu golongan memerlukan.
Ditanya mengenai perancangan lain Raiders Malaysia, beliau menjelaskan, pihaknya sedang dalam perbincangan dengan Angkasa untuk menubuhkan sebuah koperasi permotoran.
“Menerusi koperasi ini, kebajikan ahli-ahli kelab dapat lebih dijaga.
“Kami juga bercadang untuk membuka keahlian koperasi kepada semua pemilik motosikal tidak kira besar atau kecil dan juga kereta,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











