Perjuangan Mohammad Fuad bentuk Malaysia - Utusan Malaysia

Perjuangan Mohammad Fuad bentuk Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM sekeping foto lama hitam dan putih, kelihatan seorang lelaki berkaca mata persis berketurunan Inggeris berdiri di hadapan mikrofon di atas pentas kecil.

Beliau kelihatan segak menyarungkan pakaian tradisional suku kaum Kadazandusun berserta siga (penutup kepala) sambil membaca bingkisan amanat dalam selembar kertas yang dipegangnya.

“Inilah…Tun Mohammad Fuad Stephens. Ketua Menteri Sabah yang pertama. Beliau sedang membaca watikah pengisytiharan penubuhan Malaysia pada Upacara Hari Malaysia di Padang Bandaran Kota Kinabalu, 16 September 1963.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekiranya dihitung Ahad depan (esok) maka genaplah ‘usia’ Malaysia mencecah 55 tahun selepas terbentuk secara rasmi hasil gabungan Persekutuan Tanah Melayu (Semenanjung), Sabah dan Sarawak. Acapkali menjelang tarikh ini pasti terkenang jasa Fuad yang memainkan peranan penting dalam membawa Sabah menyertai Malaysia,” jelas Kurator Muzium Sabah, Dius Kubud mengenai Allahyarham Tun Mohammad Fuad ketika ditemui Kosmo! di sudut pameran Road To Malaysia baru-baru ini.

Meskipun berkonsepkan minimalis, namun bahan pameran dan perjuangan Mohammad Fuad atau nama asalnya, Donald Aloysius Marmaduke Stephens sebelum memeluk Islam pada tahun 1971 pantas membuatkan penulis ‘mengenali’ beliau dengan lebih dekat.

“Pameran ini diwujudkan bagi memberi pendedahan kepada pengunjung khususnya generasi muda tentang sejarah dan perjalanan negeri Sabah dalam pembentukan Malaysia pada lima dekad lalu.

“Pada masa sama, menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat tempatan mengenali negarawan tempatan seperti Mohammad Fuad yang sentiasa berjuang untuk kestabilan dan kesejahteraan negeri ini,” jelas Dius mengenai ketokohan Mohammad Fuad.

Perjuangan

Siapakah Mohammad Fuad bagi warga Sabah sehingga perjuangan beliau diangkat dan didokumentasikan?

Berdasarkan laman web rasmi Istana Negeri Sabah, Mohammad Fuad yang dilahirkan pada 14 September 1920 merupakan anak kepada pasangan Jules Stephens Pavitt dan Edith Cope yang berdarah Kadazan British (sebelah bapa) dan Jepun-British (sebelah ibu).

Beliau yang mendapat jolokan Bapa Kemerdekaan Sabah itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Affandy (Richard Bernard), 60; Asgari (James Denis), 58; Faridah (Jean Heather), 56 dan dan Fauziah (Aimah Eluk) berusia 54 tahun hasil perkahwinan dengan Toh Puan Rahimah (Cecilia June Lutter) pada 8 Februari 1958.

Selain itu, Mohammad Fuad yang dilahirkan di daerah Kudat, Sabah turut mempunyai seorang anak lelaki, John Benedict (Johari) berusia 66 tahun bagi perkahwinan pertama bersama wanita dikenali sebagai Ida yang meninggal dunia pada bulan April 1957.

Bekas pelajar St.Mary’s Boys School, Sandakan; Sekolah St. James di Kudat; Sekolah Vernakular di Keningau dan Sekolah Sacred Heart di Jesselton (kini Kota Kinabalu) itu seorang yang periang dan aktif sepanjang zaman persekolahan.

Mohammad Fuad mahir bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris termasuk dialek Bajau dan Hakka.

Nasib pribumi

Sebelum bergiat aktif dalam bidang politik Mohammad Fuad terlebih dulu berkhidmat sebagai guru sebelum menyertai Pasukan Pertahanan Singapura (Volunteer Force) dan bekerja di sebuah restoran Jepun di Singapura sehingga penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu, Singapura dan Borneo.

Selepas Perang Dunia Kedua tamat pada tahun 1945, beliau bekerja sebagai kontraktor membekalkan kayu balak untuk kerja-kerja pembangunan kepada Jabatan Kerja Raya. Kemudian, beliau berkecimpung dalam dunia kewartawanan sebagai pemberita, North Borneo News (NBN).

Dalam pada itu, beliau pernah menubuhkan akhbar sendiri, The Sabah Times yang bertindak sebagai wasilah memperjuangkan nasib pribumi Sabah yang ditindas British. Ketidakpuasan hati Mohammad Fuad turut diluahkan menerusi penulisannya dalam buku North Borneo yang membongkar kepincangan pentadbiran British di Negeri di Bawah Bayu. Dasar-dasar diterapkan disifatkan menindas masyarakat pribumi.

Sebaik sahaja menyertai bidang politik, Mohammad Fuad menjadi salah seorang yang terlibat dalam menandatangani Perjanjian Pembentukan Malaysia di London.

Terkorban

Selepas Pembentukan Malaysia itu diluluskan secara rasminya, Sabah menganggotai Malaysia. Beliau dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah yang pertama (1963-1964) dan kelima pada tahun 1976 serta pernah dilantik menjadi Yang Dipertua Negeri Sabah yang ketiga.

Mohammad Fuad pernah berkata: “Sesungguhnya, kita boleh berasa bangga dengan cara kita menubuhkan Malaysia melalui hujah mesra dan tolak ansur.

“Dengan ini secara tidak langsung, Sabah bebas daripada belenggu penjajahan dan menjadi bangsa dan negeri yang merdeka dalam sebuah negara baharu bernama Malaysia.

“Ribut penentangan telah bertiup kencang. Banyak usaha dijalankan oleh musuh-musuh untuk mengendalakan kelahiran negara baharu ini namun, kita tetap berjaya berada di sini dan menubuhkan Malaysia,” ujar Mohammad Fuad dipetik dalam ruangan Kata Ketua Menteri muka surat 5, akhbar Daily Express yang diterbitkan pada 16 September 1963.

Bagaimanapun, perjuangan Mohammad Fuad pada negeri Sabah bernoktah tatkala menjawat jawatan Ketua Menteri kali kedua. Beliau terkorban selepas pesawat kendalian Sabah Air yang dinaiki bersama rombongan lain dari Labuan terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu pada 6 Jun 1976.

Nahas itu menyebabkan 11 individu termasuk beberapa menteri Sabah, juruterbang, Kapten Gandhi Nathan dan Johari anak sulung Mohammad Fuad terbunuh di lokasi kejadian.

Sementara itu, saban tahun menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September, pemikiran Asgari pasti terkenangkan arwah bapanya, Mohammad Fuad.

Anak ketiga daripada lima beradik itu sedar perjuangan arwah bapanya itu lebih besar daripada sekadar memperjuangkan pembentukan Malaysia.

“Dia seorang yang sangat berdedikasi dan amanah dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab sepanjang hidupnya.

“Menjayakan penubuhan Gagasan Malaysia pada tahun 1963 hanya sebahagian daripada perjuangannya,” kata Asgari ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengimbas usaha penubuhan Gagasan Malaysia itu, Asgari berkata, peranan arwah bapanya bermula apabila dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia oleh Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo yang bersidang di Singapura pada 24 Julai 1961.

Katanya, sebagai individu penting dalam jawatankuasa tersebut, arwah bapanya dengan dibantu beberapa tokoh ternama di Sabah termasuklah bekas Gabenor pertama Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun telah turun padang ke seluruh negeri bagi meyakinkan masyarakat tempatan tentang faedah menyertai gagasan Malaysia.

“Menerusi tinjauan pungutan suara dan memorandum yang dikutip oleh Suruhanjaya Cobbold, kira-kira 80 peratus penduduk di Sabah dan Sarawak telah bersetuju agar kedua-dua negeri itu menyertai Gagasan Malaysia.

“Akhirnya, selepas beberapa tahun melalui perit jerih, Malaysia akhirnya ditubuhkan dan diisytihar secara rasmi pada 16 September 1963,” katanya.

Mengulas mengenai intipati penyertaan ke dalam Malaysia, Asgari berkata, kesemua perkara yang telah dipersetujui oleh semua pihak pada ketika itu telah dimasukkan ke dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang kemudiannya digelar sebagai MA63.

Baiki hubungan

Jelasnya, antara perkara-perkara yang terkandung di dalam perjanjian tersebut termasuklah hak-hak istimewa yang diberikan kepada Sabah seperti pentadbiran negeri, hak terhadap hasil bumi seperti minyak dan gas, serta pendidikan.

Namun soal Asgari, walaupun Sabah telah 55 tahun menyertai Malaysia, masih ada perkara-perkara yang terkandung dalam MA63 itu masih belum tertunai secara mutlak.

Justeru katanya, tidak hairanlah jika sehingga kini, ada pihak yang menuntut Kerajaan Persekutuan Malaysia untuk memulangkan hak dan keistimewaan kepada Sabah seperti yang termeterai dalam perjanjian tersebut.

“Saya sendiri secara peribadi berpendapat, kerajaan Persekutuan seharusnya melihat kembali perjanjian tersebut dan mengkaji semula adakah perkara-perkara yang termaktub di dalam berkaitan dengan Sabah telah ditunaikan sepenuhnya,”katanya.

Tun Mohammad Fuad Stephens merupakan salah seorang yang terlibat dalam menandatangani Perjanjian Pembentukan Malaysia di London pada 12 Julai 1962.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini