IPOH – Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan jaguh badminton No. 1 negara, Datuk Lee Chong Wei sudah boleh mengukir senyuman selepas menyaksikan kejayaan Pulau Pinang menamatkan penantian meraih raih pingat emas di pentas Sukan Malaysia (Sukma) selama 18 tahun sudah berakhir.
Semalam, skuad badminton Pulau Pinang dinobatkan sebagai juara apabila mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Wilayah Persekutuan dalam acara final berpasukan lelaki di Arena Badminton Perak.
Kejayaan itu menyaksikan Pulau Pinang berjaya mengulangi kejayaan hebat Chong Wei ketika bermain pada acara berpasukan lelaki di Sukma 2000 di Pulau Pinang.
Jurulatih Pulau Pinang, Razlan Rajan mengakui teruja dengan kejayaan anak-anak buahnya selepas sekadar memenangi pingat perak dalam penampilan Sukma 2016 Sarawak.
“Kejayaan hari ini (semalam) memberikan semangat serta motivasi kepada pemain-pemain saya untuk acara perseorangan lelaki.
“Dua tahun lalu, kami hanya meraih pingat perak tetapi kekecewaan itu berjaya ditebus hari ini. Apa yang pasti, saya sangat berbangga kerana kami berjaya menamatkan penantian selama 18 tahun yang mana kali terakhir Lee Chong Wei membantu Pulau Pinang menang pingat emas bagi acara berpasukan,” katanya.
Sementara itu, gangsa dimenangi Selangor dan Negeri Sembilan, manakala bagi kategori berpasukan wanita, Perak gagal merangkul pingat emas selepas tewas 1-3 kepada Selangor dan gangsa menjadi milik Kedah serta Negeri Sembilan.











