BEIJING 13 Sept. – Sebanyak 11 orang terbunuh manakala 44 lagi cedera selepas sebuah kereta merempuh sebuah dataran yang penuh dengan pengunjung di selatan China dan pemandu itu kemudian menyerang orang ramai dengan pisau dan penyodok bagi membalas dendam terhadap masyarakat atas kesalahan jenayahnya sebelum ini.
Kerajaan tempatan Hengyang dalam satu kenyataan berkata, kereta itu dipandu masuk ke dalam dataran di pekan Mishui, Hengyang di wilayah Hunan dalam kejadian awal pagi ini.
Katanya, pemandu yang hanya dikenali sebagai Yang dengan jantinanya tidak didedahkan kerajaan memandu kereta sendirian ke dataran itu sebelum menyerang orang ramai dengan sebilah pisau dan penyodok.
Yang mempunyai banyak rekod jenayah lampau dengan sabitan kes terdahulu melibatkan penjualan dadah dan mencuri menyerang orang ramai untuk membalas dendam terhadap masyarakat.
Tambah kenyataan itu tanpa mengulas lanjut, Yang telah ditahan selepas kejadian tersebut.
Imej video yang disiarkan di media tempatan menunjukkan beberapa mayat terbaring di atas lantai dan orang ramai membantu mangsa.
Kerajaan pada awalnya membuat kenyataan hanya tiga orang maut sebelum menambah angka kematian dalam kenyataan berikutnya.
Bagaimanapun tiada petunjuk kejadian itu ada kaitan dengan keganasan.
Februari lalu, sebanyak 18 orang cedera apabila sebuah van yang terbakar memasuki kawasan kaki lima sebelum merempuh pejalan kaki di tengah Shanghai.
Siasatan mendapati kebakaran kenderaan itu berpunca daripada tindakan pemandu menghisap rokok di dalam van yang membawa barang mudah terbakar.
Kerajaan China bimbang dengan perkembangan seperti itu selepas sebuah kereta merempuh pejalan kaki di Dataran Tiananmen, Beijing pada 2013 mengakibatkan tiga orang di dalam kereta dan dua orang berhampiran terbunuh.
Beijing menyalahkan kumpulan pemisah dari Xinjiang ekoran kejadian itu. – REUTERS











