CHICAGO 13 Sept. – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun beransur pulih selepas batang besi pencucuk daging tertusuk tengkoraknya namun tidak terkena otak dalam insiden yang disifatkan pakar perubatan sebagai ‘satu dalam sejuta’.
Ini kerana, jika Xavier Cunningham terkena sekurang-kurangnya 2.5 sentimeter besi itu pada mana-mana bahagian kepalanya, dia mungkin cedera parah atau terbunuh.
Sebaliknya, Cunningham boleh berdiri selepas menjalani pembedahan di Kansas, Ahad lalu bagi mengeluarkan besi pencucuk daging yang tertanam dari tulang pipi sehingga tengkoknya.
Ketua pihak berkuasa kesihatan universiti tempatan yang juga pakar bedah saraf, Koji Ebersole berkata, besi itu tidak terkena mata, otak dan saraf tunjang budak itu.
“Ia insiden satu dalam sejuta apabila besi itu menembusi tengkorak sedalam 13 hingga 15 sentimeter menerusi depan muka hingga belakang dan tidak terkena mana-mana satu daripadanya,” katanya.
Ebersole berkata, pencucuk besi itu melalui ruang kecil dalam kepala Cunningham yang dikelilingi saluran darah utama.
“Saya tidak pernah melihat sesuatu melepasi kedalaman itu dalam keadaan mangsa selamat, apa lagi memikirkan proses pemulihan hampir sempurna walaupun tidak sempurna,” katanya.
Kemalangan menimpa Cunningham berlaku tengah hari Sabtu lalu ketika dia bermain berhampiran rumahnya sebelum dia diserang sekawan lebah dan jatuh dari tangga rumah pokok ke atas besi tajam yang tercacak.
Pencucuk itu menembusi pipi kiri Cunningham di bawah matanya dan terus melepasi tengkorak tetapi menembusi kulit tengkuknya.
Cunningham kemudian berlari balik ke rumah, dengan pencucuk itu masih terlekat.
“Saya dengar dia menjerit. Cunningham datang dan besi itu terlekat pada mukanya,” kata ibunya, Gabrielle Miller. – AFP











