Gimnas Wilayah Persekutuan, Rayna Hoh Khai Ling ternyata tiada tandingan di pentas Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak apabila menyapu kesemua lima emas yang ditawarkan dalam acara gimrama.
Selepas membantu kontinjennya meraih emas berpasukan kelmarin, gimnas berusia 15 tahun itu terus memikat juri menerusi aksi menarik dan kreatif untuk mengungguli disiplin gelung, bola, belantan serta riben di Stadium Indera Mulia, Ipoh semalam.
“Saya hanya mahu memberikan persembahan terbaik pada penampilan terakhir Sukma. Saya sangat gembira kerana dapat membantu menyumbang lima emas kepada Wilayah Persekutuan walaupun saya tidak meletakkan sebarang sasaran untuk menuai lima emas,” katanya.
Sukma edisi ke-19 itu menjadi pentas pemanas badan buat Rayna yang akan mewakili negara pada Sukan Olimpik Remaja di Argentina bulan depan.











