‘Usah harap ihsan Thailand lagi’ - Utusan Malaysia

‘Usah harap ihsan Thailand lagi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEKAS apit kiri negara, Suhaimi Yusof mengingatkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) supaya tidak selama-lamanya berharap skuad negara mampu juara dalam mana-mana acara yang tidak disertai Thailand.

Pemenang pingat emas berpasukan Sukan Asia Beijing 1990 itu berkata, sampai bila PSM hendak harapkan situasi ber­kenaan sedangkan para peminat tanah air sentiasa mengidamkan Malaysia tumbangkan Thailand untuk jadi juara.

“Sesuatu perlu dilakukan bagi memantapkan skuad sepak takraw negara agar kembali digeruni lawan di rantau ini,” kata­nya yang juga meraih emas berpa­sukan Sukan SEA Manila 1991 menewaskan musuh ketat negara itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengumpan handalan seangkatan Rosli Ab. Rahman dan Abd. Malik Samsudin pada era 1990-an itu mengulas kejayaan meraih emas regu negara pada Sukan Asia 2018 setelah menewaskan Indonesia 18-21, 22-20, 21-11 tanpa penyertaan Thailand.

Zulkifli Razak (Syahir Rosdi), Azlan Alias dan Farhan Adam serta seorang lagi perejam simpanan, Norhaffizi Razak mengakhiri kemarau emas 24 tahun, 29 Ogos lalu yang kali terakhir dinikmati negara dalam Sukan Asia Hiroshima 1994.

Suhaimi menambah, matanya tidak sanggup lagi menyaksikan skuad negara berterusan dibenam Thailand 3-0 atau 2-0 kerana sudah sampai masanya mereka meningkat secara beransur-ansur sebelum kembali ‘menakluki’ lawan.

“Kita kena ada seorang lagi tekong macam Sobey (Zulkifli) dan Syahir. Sampai bilakah kita hendak asyik kalah begitu lagi.

“Dalam saingan kumpulan lalu, regu Syahir sudah dapat mencuri satu set dengan regu utama Thailand (Siriwat Sakha, Pornchai Kaokaew dan Pattarapong Yupadee).

“Selepas ini kita kena mula meningkat, kalau kalah pun 1-2 dengan satu regu menyambar kemenangan seterusnya menang 2-1, 3-0 dan 2-0 pula,” katanya.

Malaysia juga hanya mampu memenangi emas antara regu Sukan SEA Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017 dengan menewaskan lawan kerdil bertaraf divisyen dua se­perti Laos, Kemboja, Brunei, Singapura dan Filipina.

Sebaliknya, Thailand tetap mempertahankan emas berpasukan di Palembang – yang keenam berturut-turut sejak Sukan Asia Bangkok 1998, malah menjua­rai satu lagi acara yang dihadkan kepadanya, beregu berpasukan setelah menumpaskan Laos.

Sebenarnya skuad Kamol Tankimhong itu juga telah menguasai emas antara regu Sukan Asia sejak Bangkok 1998 sehingga Incheon 2014 de­ngan menewaskan Malaysia, Myanmar dan Korea Selatan.

Menurut dasar keka­ngan monopoli Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), setiap negara kecuali tuan rumah tidak dibenarkan bermain kesemua acara yang dipertandingkan pada Sukan Asia dan Sukan SEA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini