Hadiah baju Jalur Gemilang dari ‘orang lama’ - Utusan Malaysia

Hadiah baju Jalur Gemilang dari ‘orang lama’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 31 Ogos – Meskipun sudah berusia 64 tahun, seorang nenek tetap berbangga mahu berkongsi perasaan cinta akan tanah air bersama dua orang cucu kesayangannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ujar Rapiah Shaharil, dia mengambil masa kira-kira dua hari untuk menyiapkan dua pasang baju Melayu berkonsepkan Jalur Gemilang dan dengan penyediaan pakaian tersebut, dia berharap kedua-dua cucunya akan turut berasa bangga.

“Sebagai generasi yang lahir selepas zaman kemerdekaan, sudah tentulah semangat patriotik itu masih kuat dan saya tidak mahu ia berakhir begitu sahaja.

“Jadi dengan menjahit baju Jalur Gemilang tersebut, saya harap perasaan cinta akan Malaysia ini dapat disemai dan diwarisi oleh mereka yang merupakan generasi muda,” katanya kepada Utusan Online, di perkarangan Putrajaya hari ini.

Sementara itu, seorang bapa, Wan Zanuri Wan Jusoh, 33, berkata, dia dan isteri mengambil masa dalam tiga hari untuk menghasilkan baju yang bertemakan Jalur Gemilang untuk anak perempuannya.

Dia bersama ahli keluarga yang datang dari Kuantan, Pahang turut berasa teruja dapat melihat anak perempuannya dapat menggayakan pakaian tersebut pada hari yang cukup bersejarah buat negara.

“Ini adalah hari kemerdekaan buat Malaysia yang ke-61. Jadi, apabila kami sekeluarga dapat menghasilkan sesuatu yang unik dan menarik, ia akan menjadi kenangan buat kami semua..

“Apa-apa pun, saya ingin mengucapkan selamat hari kemerdekaan buat negara Malaysia dan semoga keamanan yang kita kecapi hari ini dapat terus dipelihara,” katanya.

Sambutan kemerdekaan negara berlangsung bermula kira-kira pukul 8 pagi dan berakhir sekitar pukul 10.30 pagi menyaksikan ribuan rakyat Malaysia termasuk pengunjung dari luar negara turut hadir bagi menzahirkan rasa gembira bersama-sama. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini