AMPANG – Seorang kakitangan Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah memiliki dua kad tambah nilai Tesco Club Touch ‘n Go tidak sah bernilai RM2,048 bulan lalu.
Mahkamah memerintahkan Nurul Syahirah Adnan, 26, menjalani hukuman itu bermula daripada tarikh dia ditangkap iaitu 14 Mac lalu.
Hukuman dijatuhkan selepas dia mengaku bersalah terhadap kedua-dua kesalahan itu sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan dihadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan, pertama dan kedua, dia didakwa memiliki dua keping kad tambah nilai Tesco Club berkenaan yang tidak sah dan menggunakan kad berkenaan yang masing-masing RM1,145.50 dan RM 907.15 yang mengakibatkan syarikat Touch ‘n Go Sdn. Bhd. kerugian.
Dia didapati melakukan kesalahan itu di Pasaraya Tesco Ampang antara 19 Februari dan 1 Mac 2019.
Pendakwaan keatasnya dikemukakan mengikut Seksyen 474 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – K! ONLINE










