KUALA LUMPUR 18 Mac – Beberapa mangsa serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand berada dalam keadaan trauma malah menyangka polis berpakaian seragam lengkap bersenjata merupakan penjenayah dan mahu menyerang mereka.
Pegawai Perubatan di Hospital Christchurch yang juga merupakan rakyat Malaysia, Mohamad Firdaus memberitahu, berikutan kejadian tersebut beberapa mangsa melahirkan kebimbangan dan berulang kali bertanya mengenai keselamatan mereka.
“Polis masih berjaga-jaga di hospital dan masjid dengan pakaian lengkap berserta senjata.
“Ada pesakit yang trauma dan sering terbayang-bayang kejadian tersebut, mereka sangat takut dan cemas.
“Ada yang sangka polis berpakaian lengkap adalah penjahat yang mahu menyerang mereka malah ada yang bertanya banyak kali adakah masih selamat, adakah masih ada anggota keselamatan yang berjaga-jaga di luar,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.
Tambahnya lagi, pihaknya juga telah mengedarkan alat penyumbat telinga kepada dua warganegara Malaysia iaitu Mohd. Tarmizi Shuib dan Nazril Hisham Omar untuk membantu mendapatkan tidur yang lebih lena.
“Bagi yang pernah ditahan di hospital, tidur malam akan sentiasa terganggu dengan bunyi mesin, raungan pesakit dan jururawat yang sering datang untuk membuat pemeriksaan.
“Harapnya penyumbat telinga ini dapat membantu mereka mendapat tidur lebih lena walaupun sangat susah untuk tidur selepas kejadian ini tersebut,” katanya.
Dalam pada itu Mohamad Firdaus menambah, upacara solat jenazah masih dirancang manakala tempat serta masanya belum diputuskan.
“Setakat ini saya tidak pasti sama ada senarai nama yang syahid sudah dikeluarkan atau tidak,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE










