14 warga asing ditahan dalam Op Bersepadu Imigresen Kedah - Utusan Malaysia

14 warga asing ditahan dalam Op Bersepadu Imigresen Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 18 Mac – Seramai 14 orang warga asing termasuk tiga orang wanita ditahan dalam Op Bersepadu Jabatan Imigresen negeri di sekitar pusat bandar ini, semalam.

Mereka yang ditahan terdiri daripada masing-masing dua lelaki dan dua wanita warga Indonesia serta sembilan lelaki dan seorang wanita warga Myanmar, yang kesemuanya berusia antara 19 hingga 57 tahun.

Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin berkata, keseluruhan warga asing yang diperiksa sepanjang operasi adalah seramai 39 orang, terdiri daripada pelbagai warga negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya lagi, operasi itu yang tertumpu di premis-premis perniagaan, rumah sewa dan terminal bas di sini, dijalankan berdasarkan maklumat awam dan risikan.

“Seramai 16 orang pegawai daripada Bahagian Penguat Kuasa Imigresen telah terlibat dalam operasi yang bermula 10 malam sehingga pukul 3.30 pagi.

“Siasatan awal mendapati, mereka yang ditahan itu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1(c) Akta Imigresen 1959/63(Akta 155) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Selain itu Seksyen 15(1)(c) atas kesalahan tinggal lebih masa dan Per. 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas Lawatan dengan berkerja secara tidak sah,” katanya lagi.

Tambah beliau, warga asing-warga asing itu ditahan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Mereka kemudian akan diserahkan ke Depot Imigresen Belantik, Sik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini