KUALA LUMPUR 18 Mac – Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, sejajar dengan prestasi bursa serantau yang positif selepas saham AS mengukuhkan peningkatan mingguan terbesarnya dalam tempoh lebih tiga bulan, pada Jumaat lepas.
Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.94 mata kepada 1,682.48 daripada 1,680.54 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks dibuka tinggi 1.29 mata kepada 1,681.83.
Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 188 berbanding 75, manakala 196 kaunter kekal tidak berubah, 1,435 tidak diniagakan dan 35 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 227.04 juta saham bernilai RM69.30 juta.
Di peringkat serantau, Indeks Strait Times Singapura naik 0.37 peratus kepada 3,212.03, Nikkei Jepun meningkat 0.29 peratus kepada 21,512.29 dan Indeks Komposit Shanghai China menambah 1.04 peratus kepada 3,021.75.
Peniaga berkata sentimen serantau meningkat selepas petunjuk pasaran S&P 500 Wall Street mencatatkan peningkatan sebanyak 2.9 peratus pada minggu lepas, ke arah kepada peningkatan mingguan yang terbesar sejak akhir November.
Menurut Public Investment Bank Bhd, S(amp)P 500 menyambung semula kenaikannya dengan meningkat sebanyak 0.5 peratus pada Jumaat lepas, selepas susut pada Khamis yang mengganggu peningkatan selama tiga hari berturut-turut.
“S(amp)P mencatatkan penurunan mingguan hanya dua kali pada tahun ini, berikutan keyakinan perdagangan dan jaminan Rizab Persekutuan AS untuk berada pada kadar semasa yang telah meningkatkan sentimen di Wall Street,” katanya dalam nota hari ini.
Sementara itu, di Bursa Malaysia, dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM9.51, Tenaga dan CIMB, masing-masing menambah dua sen kepada RM12.70 dan RM5.50, manakala Public Bank dan Petronas Chemicals, masing-masing tidak berubah pada RM24.48 dan RM9.25.
Saham yang aktif diniagakan ialah Iris, naik 1.5 sen kepada 15.5 sen, Sapura Energy dan PUC, masing-masing meningkat setengah sen kepada 37 sen dan 11.5 sen, manakala Orion menambah dua sen kepada 21 sen dan waran menokok 1.5 sen kepada 10.5 sen.
Hong Leong Industries muncul sebagai kaunter paling untung, naik 28 sen kepada RM10.38, diikuti Aeon Credit, meningkat 28 sen kepada RM17.32, Carlsberg menambah 22 sen kepada RM25.96, PPB menokok 16 sen kepada RM18.40 dan Allianz naik lapan sen kepada RM14.50.
Indeks FBM Emas naik 12.16 mata kepada 11,771.34, FBMT 100 meningkat 11.99 mata kepada 11,614.71, dan FBM 70 mengukuh 9.0 mata kepada 14,218.07.
Indeks FBM Emas Shariah menokok 13.95 mata kepada 11,762.03 dan Indeks FBM Ace naik 48.93 mata kepada 4,883.38.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 0.12 mata kepada 17,537.23, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.38 mata kepada 171.08 dan Indeks Perladangan menambah 3.88 mata kepada 7,260.07. – BERNAMA











