PARIS 18 Mac – Angel Di Maria menjadi inspirasi kepada kemenangan Paris Saint-Germain (PSG) apabila meledak dua gol untuk membantu pasukannya menewaskan Marseille 3-1 sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah serta berkelebihan 20 mata di puncak Ligue 1.
Begitu pun, PSG diboikot oleh sekumpulan penyokong kelab tersebut selepas mereka dikejutkan dengan penyingkiran Liga Juara-Juara oleh Manchester United.
Kain rentang ‘Kami tidak lupa’, ‘hormat kepada penubuhan kelab’ dan ‘duit sentiasa di hati’ tergantung di dalam kawasan stadium dan itu jelas menunjukkan penyokong tidak gembira dengan kekalahan 1-3 PSG kepada United di laman sendiri pada 6 Mac lalu.
“Ada perkara yang kami tidak boleh ubah, kami perlu menerimanya dan kami juga berasa amat sedih namun kami kembali meneruskan perjuangan di Dijon (minggu lalu) malah hari ini (semalam) pemain menunjukkan karekter mereka.
“Saya gembira kami boleh menunjukkan persembahan yang baik pada hari ini sebab penting untuk penyokong dan kami,” kata jurulatih PSG, Thomas Tuchel.
Kylian Mbappe meletakkan PSG di depan sebelum wisel rehat ditiup dan itu merupakan jaringannya yang ke-26 dalam aksi liga pada musim ini namun Valere Germain menyamakan kedudukan seminit selepas rehat.
Pemain Argentina, Di Maria kembali meletakkan pasukan tuan rumah di depan pada minit ke-55 dan Marseille terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas penjaga gol, Steve Mandanda dilayangkan kad merah kerana bola terkena tangannya di luar kotak penalti.
Di Maria meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-66 dan PSG berpeluang menambah jaringan bagaimanapun sepakan penalti Mbappe berjaya diselamatkan oleh pemain gantian Yohann Pele. – AFP











