Rayzam tunggu lampu hijau KOM - Utusan Malaysia

Rayzam tunggu lampu hijau KOM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARAPAN jaguh 110 meter (m) lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian untuk berlatih selama empat bulan di Leipzig, Jerman semakin hampir menjadi kenyataan selepas ‘pembentangan bajetnya’ mendapat respons positif daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Rayzam, 31, menjelaskan, kertas cadangannya itu telah dipersetujui oleh jurulatihnya yang berpangkalan di Leipzig, Jan May dan kini hanya menanti kata putus daripada KOM yang dilaporkan akan membincangkannya dalam satu mesyuarat bersama-sama ahli jawatankuasa badan induk ber­kenaan bulan depan.

Jika semuanya berjalan lancar, pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 13.67 saat (s) itu akan terbang ke Jerman selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Jun nanti dan pulang se­mula sebulan sebelum Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina berlangsung November depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Buat masa sekarang, saya berlatih dahulu di Sabah dan selepas ini akan ke Leipzig. Segala bajet sudah dihantar kepada KOM, cuma tunggu mereka bermesyua­rat sahaja.

“Berdasarkan perancangan, saya akan pergi selepas Hari Raya Aidilfitri dan balik pada bulan Oktober. Saya akan sertai dalam enam atau tujuh kejohanan di sana dan satu bulan lagi fokus 100 peratus kepada latihan saya.

“Selepas balik, saya ada masa dalam empat minggu untuk me­lakukan persediaan terakhir sebelum berlepas ke Sukan SEA 2019,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Rayzam yakin tempatnya ke Sukan SEA 2019 akan terjamin pada Terbuka Singapura 2019 hujung bulan ini kerana buat masa sekarang pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu cuma ketinggalan 0.2s sahaja daripada had kelayakan ditetapkan KOM.

“Had kelayakan ialah 14.10s tetapi saya tidak bimbang kerana yakin akan layak pada Terbuka Singapura 2019. Baru-baru ini saya catat masa 14.12s pada Terbuka Filipina 2019.

“Fokus saya tahun ini cuma Sukan SEA 2019. Saya ada dua pencabar yang perlu diberi perhatian iaitu atlet Indonesia, Rio Maholtra yang mempunyai catatan terbaik 14.01s dan seorang lagi dari Filipina, Clinton Kingsley Bautista,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini