TELUK INTAN 17 Mac – Siapa sangka di pesisiran Sungai Perak terdapat sebuah pulau yang menjadi tarikan pencinta alam kerana menjadi tumpuan pelbagai spesies burung bangau.

Ibarat berpesta, kehadiran burung-burung termasuk bangau membuktikan pulau berkenaan sebagai tempat atau habitat yang sesuai untuk persinggahan.
Bukan sahaja bangau bersaiz besar, anda juga boleh melihat beberapa spesies lain seperti bangau batu, bangau bakau, bangau cina, bangau kendi, bangau kerbau dan bangau paya.
Dalam masa sama, ia juga menarik kehadiran burung lain seperti enggang, helang, burung raja udang, burung punai dan burung hantu.
Maka tidak hairanlah jika pulau itu menjadi tumpuan para jurugambar untuk merakamkan pelbagai aksi burung-burung berkenaan selain menghayati pemandangan menakjubkan terutama tatkala senja berlabuh.
Pengerusi Persatuan Pelancongan Teluk Intan, Fong Seow Kai Chuan, 30, berkata, berdasarkan sumber yang diperoleh, pulau itu terbentuk sejak kira-kira 15 tahun lalu ekoran timbunan pasir serta proses hakisan sungai.
Beliau berkata, pulau seluas kira-kira enam hektar yang lebih dikenali sebagai Pulau Bangau itu perlu dikawal rapi bagi memastikan ekosistem terpelihara.
Katanya, pihak berkuasa perlu melarang segala aktiviti menangkap, menembak, mahupun memasang jaring atau membaling mercun ke arah kawasan itu kerana ia telah menjadi sarang pembiakan pelbagai spesies burung.
“Kita memohon kerajaan supaya membina sebuah jeti di sini bagi memudahkan para pelancong untuk pergi melihat keunikan Pulau Bangau.
“Selain itu, wartakan juga pulau ini supaya tidak diganggu sehingga boleh mengancam populasi burung-burung terutama burung bangau,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Sementara itu, seorang penduduk tempatan, Kamaruddin Asri, 60, berkata, dia tidak menyangka terdapat kewujudan sebuah pulau yang menjadi tumpuan pelbagai spesies burung selain daripada mercu tanda cukup terkenal di sini iaitu Menara Condong Teluk Intan.
Sehubungan itu katanya, dia bersetuju jika kawasan jeti sedia ada dapat dinaik taraf supaya mampu menarik lebih banyak kehadiran pelancong.
Seorang lagi penduduk, Wak Shaful Osman, 62, pula berpandangan, kerajaan perlu menubuhkan sebuah badan penguat kuasa bagi menjaga pesisiran Sungai Perak supaya tidak tercemar.
“Sama-samalah kita menjaga keindahan alam serta khazanah sungai yang ada. Pemandangan pun nampak cantik ketika burung-burung itu berterbangan pada waktu senja dengan berpakat balik ke Pulau Bangau,” katanya.











