34 kes penipuan pinjaman libatkan lebih RM200,000 - Utusan Malaysia

34 kes penipuan pinjaman libatkan lebih RM200,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIRI 17 Mac – Sebanyak 34 kes penipuan pinjaman tidak wujud dilaporkan di negeri ini dengan kerugian bernilai RM244,495.04 dalam tempoh Januari hingga 15 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, pihaknya kini giat menjalankan siasatan dan risikann untuk membanteras dan menggempur sindiket penipuan pinjaman tidak wujud tahun ini.

Ujarnya, dua kes terbaharu telah dilaporkan pada Jumaat lalu melibatkan seorang jururawat dan pekerja pelantar minyak membabitkan kerugian RM5,560.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam kes pertama, jururawat wanita berusia 32 tahun itu dikatakan telah menerima khidmat pesanan ringkas daripada seorang individu tidak dikenali yang menawarkan pinjaman wang tunai.

“Sindiket terbabit memperkenalkan diri dengan mengatakan dia daripada sebuah syarikat pinjaman wang dan menawarkan pinjaman berjumlah RM20,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa Kamal memberitahu, mangsa yang terpedaya dengan tawaran itu kemudian telah membuat pembayaran RM2,160 sebelum menyedari pinjaman tersebut tidak wujud.

Jelasnya, bagi kes kedua, seorang lelaki berusia 43 tahun dikatakan dihubungi seorang wanita yang menawarkan pinjaman wang tunai.

“Mangsa menyatakan minat untuk membuat pinjaman berjumlah RM15,000 sebelum suspek kemudian meminta supaya membayar wang berjumlah RM400 untuk meluluskan pinjaman tersebut.

“Bagaimanapun, pada hari sama mangsa telah menerima panggilan daripada seorang lelaki meminta dia untuk melakukan satu lagi pembayaran berjumlah RM3,000 sebagai insurans pinjaman dan dia menyedari telah ditipu selepas pinjaman tersebut tidak diterima.-BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini