CHRISTCHURCH – Seorang suami yang mana isterinya maut dalam serangan masjid di bandar Christchurch, selatan New Zealand berkata, bahawa dia tidak berdendam terhadap lelaki bersenjata tersebut, manakala kemaafan adalah jalan terbaik.
Ditanya sama ada dia memaafkan pengganas kulit putih berumur 28 tahun itu, Farid Ahmad berkata: “Sudah tentu, perkara terbaik adalah kemaafan, kasih sayang, kemurahan hati dan sikap positif.”
Isterinya, Husna Ahmed merupakan antara 50 orang yang terbunuh dalam serangan ke atas dua buah masjid ketika penduduk Islam mengerjakan solat Jumaat.
Apabila tembakan bermula, wanita itu membantu sebilangan mangsa di dewan solat wanita dan kanak-kanak melarikan diri.
“Dia menjerit, cepat mari ke arah sini dan membawa bersama ramai wanita dan kanak-kanak ke sebuah taman selamat.
“Apabila dia kembali untuk mencari saya kerana saya menggunakan kerusi roda, dia ditembak.
Isteri saya ditembak ketika dia sibuk cuba menyelamatkan nyawa orang lain sehingga lupa tentang keselamatannya,” kata Farid.
Lelaki berumur 59 tahun itu terpaksa menggunakan kerusi roda selepas lumpuh akibat dilanggar pemandu mabuk pada tahun 1998.
Farid berkata, dia terselamat mungkin kerana penyerang memberi tumpuan kepada sasaran lain.
“Lelaki ini menembak seorang mangsa dua atau tiga kali. Mangsa yang sudah mati pun ditembak lagi,” katanya. – AFP











