KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan tidak bersetuju jika permainan dalam talian PlayerUnknown’s Battleground (PUBG) perlu diharamkan dan dikaitkan dengan sentimen keganasan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Datuk Dr. Mohamed Fadli Hassan berkata, kejadian insiden berdarah di dua masjid di Christchurch, New Zealand itu adalah melibatkan serangan keganasan dan tiada kaitan dengan PUBG.
Katanya, walau bagaimanapun semua benda melibatkan aspek positif dan negatif dalam sukan elektronik (e-Sukan) itu perlu terpulang pada kebijaksanaan seseorang untuk menilainya.
“Jika niat hendak membunuh tiada senapang pun boleh membunuh dengan peralatan lain dengan pisau, pedang dan benda lain.
“Saya menasihatkan golongan muda ambil semua perkara dalam bentuk positif dan tinggalkan yang negatif. Insiden berdarah berlaku di New Zealand itu adalah keganasan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meyampaikan hadiah pertandingan PUBG Mobile East Coast Championship 2019 di Dewan Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK), di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Kejohanan E-Sport Eskel, Dr. Roy Moheidy Mohd. Zain, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Mohmad Embong dan Pengerusi Kejohanan, Datuk Dr. Mohd. Zain Yusof dan Pengarah PPAK, Roslan Ludin .
Pemenang tempat pertama bagi kategori solo disandang oleh Muhammad Idham Fitri Abdullah dan berjaya memperolehi wang tunai RM4,000.
Manakala juara tempat pertama kategori berkumpulan milik Nur Ahmad Shahfuan Hanafiah sebagai ketua pasukan menerima wang tunai RM7,000.
Sementara hadiah khas pemain terbaik keseluruhan berjaya diperolehi Wan Muhamad Firdaus Wan Ali dengan membawa pulang piala pusingan. – K! ONLINE











