SABAK BERNAM – Seorang lelaki maut selepas bertarung nyawa selama 15 jam akibat kecederaan parah dilanggar ketika menjamu selera di sebuah warung di Batu 39 di sini, kelmarin.
Roslan Kawi, 52, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 12.03 tengah hari semalam di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) di sini.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Nor Azmi Isa berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pukul 8.50 malam apabila sebuah motosikal Modenas Kriss ditunggangi remaja lelaki berusia 19 tahun menghala ke pekan daerah ini dari Kampung Batu 37 darat.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian didapati penunggang itu hilang kawalan selepas mengelak sebuah motosikal jenis Modenas CT100 ditunggangi remaja lelaki berusia 15 tahun yang keluar simpang secara mengejut.
“Motosikal ditunggangi remaja lelaki berusia 19 tahun itu kemudiannya terus merempuh mangsa yang sedang makan di warung tersebut.
“Akibat pelanggaran mangsa parah di bahagian kepala sebelum dibawa ke HTAJ untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, remaja berusia 19 tahun itu yang patah pergelangan tangan kiri turut dibawa ke hospital sama.
Jelas Nor Azmi, kes yang sebelum ini diklasifikasikan mengikut Sekyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kini disiasat dibawah Seksyen 41 (1) akta yang sama. – K! ONLINE











