Sianida: Boleh akibatkan kematian pada bacaan 100-200 ppm - Utusan Malaysia

Sianida: Boleh akibatkan kematian pada bacaan 100-200 ppm

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Mac – Gas hidrogen sianida boleh mengakibatkan kematian jika ia berada pada bacaan 100 hingga 200 partikel per sejuta (ppm) malah gas itu digunakan sebagai senjata bahan kimia sewaktu perang dunia pertama lagi kerana sifat toksiknya.

MOHD. HAZWAN HUSSIN

Namun begitu, jelas Pensyarah Kanan Kimia Industri, Pusat Pengajian Sains Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd. Hazwan Hussin, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berjaga-berjaga walaupun bacaan yang dicatatkan adalah rendah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Terdapat laporan yang mengatakan kepekatan gas hidrogen sianida pada bacaan 100 – 200 ppm boleh mengakibatkan kematian. Walaupun bacaan yang dicatatkan adalah rendah (sekitar 4.5 ppm), namun penduduk dinasihatkan agar sentiasa berjaga-jaga dan menjauhi kawasan yang tercemar sehingga paras pencemaran berada dalam bacaan yang selamat,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, pihaknya mengesan terdapat kandungan gas berbahaya hidrogen sianida dalam udara tercemar akibat pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada 7 Mac lalu.

Jelasnya, bacaan tertinggi yang direkodkan pihaknya ialah 4.5 ppm di Taman Tanjung Puteri pada Rabu lalu. Namun bacaan itu hanya bertahan kira-kira dua jam sebelum kembali ke paras berjaga-jaga.

Namun, Yahaya menerusi kenyataannya hari ini berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak panik susulan pendedahan pihaknya tersebut kerana tahap bacaan gas hidrogen sianida terkini berada pada paras selamat iaitu bawah 2.0 ppm.

Sementara itu, tambah Mohd. Hazwan, gas Hidrogen Sianida sebenarnya sama seperti gas metana kerana kedua-duanya adalah ‘secondary waste’ yang terbentuk akibat tindak balas sisa kimia yang dibuang.

“Gas hidrogen sianida boleh terhasil akibat tindak balas gas metana atau bahan hidrokarbon lain dengan persekitaran antaranya dalam kehadiran gas oksigen dan bahan pelarut seperti ammonia lalu menghasilkan gas hidrogen sianida dan air.

“Tindak balas lain adalah jika terdapat bahan pelarut logam seperti Natrium sianida (NaCN) yang dibuang, ini juga boleh menyebabkan penghasilan gas sianida. Namun kita tidak dapat memastikan dengan tepat sama ada terdapat garam sianida dalam komponen sisa kimia yang dibuang,” katanya. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini