KUALA LUMPUR 17 Mac – Kerajaan New Zealand digesa untuk menjalankan penghakiman yang adil tanpa diskriminasi terhadap pelaku serangan bersenjata di dua masjid di Christchurch, New Zealand kelmarin.
Gesaan itu disuarakan oleh Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Muhamad Amin Fahmi dan Presiden Persatuan Ahli Perniagaan dan Usahawan Bebas Turki (MUSIAD) Malaysia, Sabri Yardimci menerusi kenyataan bersama yang turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas di Masjid al Noor dan Masjid Linwood ketika ketika umat Islam sedang bersiap untuk mengerjakan solat Jumaat.
Jelas kenyataan itu, penghakiman yang adil terhadap pelaku adalah wajar kerana ia memberi isyarat kepada dunia bahawa tragedi seperti itu mencerminkan sensitiviti dan kebimbangan agama yang tidak sama sekali boleh diterima di seluruh dunia.
Muhamad Amin menyifatkan serangan terhadap komuniti Islam itu adalah tidak bertamadun, tidak kompromi dan melanggar hak asasi manusia.
“Malah, apa yang memburukkan lagi adalah tembakan berlaku di dalam tempat suci bagi masyarakat Islam dan amat sedih apabila mangsanya melibatkan kanak-kanak.
“Insiden tersebut mengejutkan seluruh dunia dan secara jelasnya menunjukkan penyerang itu tidak menghormati umat Islam dan pastinya tindakan itu bertentangan dengan undang-undang,” katanya.
Dalam pada itu, Sabri menegaskan serangan keganasan yang tidak munasabah itu tidak boleh diterima sama sekali dan berharap agar individu yang bertanggungjawab dalam insiden itu dibawa ke muka pengadilan.
Sementara itu, DPIM dan MUSIAD Malaysia meminta rakyat di seluruh dunia untuk berganding bahu mengalakkan keharmonian dan keamanan untuk kestabilan serta kebaikan dunia.
Jelas kedua-dua persatuan itu, mereka tetap berdiri teguh di belakang komuniti Christchurch dan terus berdoa untuk persekitaran yang selamat dan harmoni.
“DPIM dan MUSIAD Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Semoga Allah memberikan rahmat, kesabaran dan pengampunan kepada semua mangsa yang terkorban.
“Kami berdoa untuk kesihatan terbaik bagi mangsa yang selamat dan semoga Allah menempatkan mangsa di syurga,” katanya. – UTUSAN ONLINE











