KUALA LUMPUR 17 Mac- Sebanyak 218 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan yang dijalankan di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dekat sini, awal pagi tadi.
Operasi bermula pukul 9.30 malam hingga 7 pagi itu dijalankan oleh tujuh pegawai dan 86 anggota terdiri daripada pelbagai cawangan dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, antara kesalahan dikenal pasti adalah tidak mempunyai lesen, ubah suai motosikal serta cukai jalan tamat tempoh.
“Dalam operasi itu, sebanyak 162 motosikal diperiksa membabitkan 181 penunggang dan pembonceng motosikal termasuk dua wanita yang berusia antara 15 hingga 30 tahun.
“Kita turut menjalankan ujian awal saringan air kencing terhadap 10 individu dalam operasi itu, namun kesemua mereka didapati negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ahmad Dzaffir, pihaknya turut menyita tujuh motosikal termasuk sebuah motosikal yang ditinggalkan di dalam longkang oleh penunggang kerana melarikan diri selepas didapati mengubah suai motosikal secara keterlaluan serta tiada lesen memandu.
Katanya, motosikal yang disita telah dibawa ke IPD Kajang untuk tindakan lanjut.- UTUSAN ONLINE











