PASIR GUDANG – Polis mendapat petunjuk baharu bagi mengesan kedudukan suspek yang terlibat kes pembuangan sisa bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya kini sedang mempergiatkan operasi bagi memastikan suspek yang terlibat di bawa ke muka pengadilan.
“Kita telah menubuhkan pasukan khas (Task Force) yang diketuai Ketua Polis Negeri dan dibantu pegawai dari Bukit Aman bagi menjalankan siasatan terperinci.
“Kita yakin usaha untuk mengesan suspek terlibat dan kita mendapat petunjuk untuk menjejaki mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini hari ini.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd., serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Datuk Yahaya Madis.
Mohamad Fuzi berkata, sehingga kini pihaknya sudah menerima lebih 76 laporan polis berhubung kejadian ini terdiri daripada mangsa serta keluarga yang terlibat.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai percanggahan laporan dakwaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah menahan tiga suspek susulan kejadian ini, beliau berkata operasi yang dijalankan secara berasingan.
“Apa yang dikeluarkan daripada jabatan berkenaan saya tidak dapat beri komen, tiada niat untuk (timbulkan) percanggahan kerana operasi dijalankan secara berasingan kecuali kita dimaklumkan.
“Kita masih belum membuat sebarang tangkapan,” katanya.
Mohamad Fuzi berkata, polis menggerakkan tiga platun terdiri daripada 150 anggota untuk mengawal lalu-lintas selain menjaga harta benda termasuk rumah mangsa terlibat. – K! ONLINE.











