KUANTAN – Guru wanita di sini kerugian RM152,050 melalui skim pelaburan Arba Network di bawah syarikat Classic Worldwide Corporation yang menjanjikan pulangan lumayan setiap bulan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, pelaburan itu melibatkan produk minuman segera termasuk Kopi Pak Belalang dan Booster Factor.
Mohd. Wazir berkata, wanita berusia 48 tahun itu mula menyertai pelaburan tersebut pada 2015 dan dijanjikan pulangan tetap dalam bentuk produk serta bayaran wang.
Beliau menambah, pelaburan tersebut menjanjikan pembahagian nisbah pulangan sebanyak 75 peratus dalam bentuk wang.
“Satu per empat bahagian (25 peratus) lagi dibayar kepada ahli dalam bentuk produk,” kata beliau menerusi kenyataan kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Wazir menambah, mangsa membuat pelaburan sebanyak RM190,000 dan telah menerima pulangan RM37,950 secara berkala.
Bagaimanapun, mangsa tidak lagi menerima sebarang pulangan sejak November 2016 dan syarikat itu memberi alasan sedang naik taraf pakej untuk beri keuntungan lebih tinggi kepada semua ahli.
“Sehingga kini, tiada sebarang maklum balas daripada syarikat berkenaan. Pengadu berasa tidak puas hati dan membuat laporan polis,” tambah Mohd. Wazir.
Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – K! ONLINE











