ADDIS ABABA 17 Mac – Mengenal pasti punca nahas pesawat Ethiopian Airlines yang mengorbankan 157 orang sehingga memaksa Boeing menggantung operasi pesawat 737 MAX 8 di seluruh dunia, ‘akan mengambil masa’.
Pesawat ET302 itu terhempas beberapa minit berlepas menuju ke Nairobi pada 10 Mac lalu.
“Siasatan mengenai nahas memerlukan analisis yang teliti dan mengambil masa untuk menerangkan sesuatu yang konkrit,” jelas Menteri Pengangkutan, Dagmawit Moges.
Moges memberitahu, proses bagi mengenal pasti mayat mangsa juga mengambil masa enam bulan dan ahli keluarga perlu menyerahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) untuk tujuan iu.
Jelasnya, sijil kematian pula akan dikeluarkan dalam tempoh dua minggu.
Terdahulu, salah seorang keluarga mangsa melahirkan kekecewaan kerana proses mengecam mayat mangsa mengambil masa lama.
Dalam pada itu, kotak hitam pesawat Ethiopian Airlines telah diserahkan kepada Agensi Keselamatan Penerbangan Perancis (BEA) bagi mengenal pasti punca nahas.
Data daripada perakam suara kokpit (CVR) telah diekstrak dan diserahkan kepada pihak berkuasa Ethiopia.
BEA memaklumkan, kerja-kerja masih diteruskan untuk mendapatkan data daripada perakam data penerbangan (FDR) yang dilaporkan rosak susulan nahas itu. – AFP











