KUALA LUMPUR 16 Mac – Juara bertahan, Conlay menepati ramalan apabila melangkah ke perlawanan akhir Liga Ragbi Malaysia (LRM) selepas membenam UPM Angels 24-10 dalam separuh akhir di Padang Ragbi Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang hari ini.
Kemenangan itu bakal menemukan mereka dengan Mersing Eagles yang terdahulu mengesahkan tiket perlawanan akhir dengan mengalahkan UiTM Lions 28-12 dalam satu lagi separuh akhir.
Kapten Keris Conlay, Fairuz Abdul Rahman berkata, kemenangan ke atas juara 2016, UPM Angels meningkatkan keyakinan mereka untuk mempertahankan gelaran.
Babak pertama menyaksikan Conlay yang lebih banyak menguasai perlawanan untuk mendahului 7-3 selepas tamat 40 minit pertama permainan.
Babak kedua menyaksikan Conlay terus menguasai perlawanan dan mengesahkan kemenangan dengan keputusan akhir 24-10.
“Kami mendapat tentangan hebat daripada Serdang Angels yang berhasrat untuk memadam kekalahan dalam pertemuan pertama.
“Kami menghadapi masalah dalam separuh masa pertama tetapi bangkit dalam babak kedua untuk menjarakkan mata dengan pasukan lawan,” ujar Fairuz yang dipetik oleh Astro Arena. – UTUSAN ONLINE
KEPUTUSAN (separuh akhir)
Divisyen Perdana
Keris Conlay 24 UPM Angels 10
Mersing Eagles 28 Uitm Lions 12
Divisyen 1
Polis Bersatu 23 Poli Mas Hornets 20
Blackhawks 47 ATM JLJ 33
JADUAL AKHIR
ESOK
Divisyen 1
Polis Bersatu lwn Rmaf Blackhawk – 1 petang
Divisyen Perdana
Keris Conlay lwn Mersing Eagles – 4 petang
*Semua perlawanan akan berlangsung di Padang A UPM Serdang.











