MEDAN 16 Mac – Calon Presiden nombor satu, Joko Widodo atau Jokowi mengajak penyokongnya untuk keluar beramai-ramai ke Tempat Pemungutan Suara (TPS) pada hari pilihan raya Presiden (Pilpres) 2019.
Lapor Kompas.com, Jokowi meminta semua pengundi beramai-ramai datang ke TPS dan mengundi.
Jokowi berkata, setiap undi adalah penting kerana bakal menentukan masa depan negara dalam tempoh lima tahun akan datang.
Beliau pada masa mengingatkan orang ramai supaya tidak mempercayai sebarang maklumat yang tersebar secara membuta tuli.
“Siasat dulu, contohnya berita kononnya kami bercadang untuk menghapuskan pendidikan agama serta membenarkan pernikahan sesama jantina atau menyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
“Tolong jangan terpedaya dengan berita-berita palsu yang tersebar dan jangan melayan sama sekali. Fitnah yang ditaburkan terhadap diri saya jika ikut logik, memang tidak masuk akal,” katanya.
Sebelum ini, Jokowi yang mempertahankan jawatannya dalam Pilpres bulan depan didakwa melarang laungan azan dan membenarkan pernikahan sesama jantina atau menyokong golongan LGBT.
Bagaimanapun, beliau menafikan perkara dan menyifatkannya sebagai sampah. – AGENSI











