KUALA LUMPUR 16 Mac – Hak kebebasan bersuara dan kecanggihan teknologi komunikasi atau media sosial dewasa ini membolehkan sesiapa sahaja memberi pandangan.
Namun, ia tidak menjanjikan seseorang itu cukup bijak untuk menjaga kelakuan dan kata-kata agar tidak mengguris hati orang lain.
Serangan pengganas terhadap dua masjid di Christchurch, New Zealand semalam menunjukkan bagaimana medium media sosial disalahgunakan bagi tujuan keganasan.

Lebih malang, ia disusuli pula dengan pelbagai kenyataan yang memburukkan keadaan termasuk orang Malaysia sendiri.
Ramai tidak pernah mendengar nama Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol di Johor, tetapi semalam satu Malaysia mula mengenali DUN itu terutamanya wakil rakyatnya, Chew Chong Sin daripada DAP.
Di sebalik penduduk dunia terkejut serta trauma menyaksikan pembunuhan berpuluh-puluh jemaah solat Jumaat di Christchurch itu, Chong Sin mencetuskan rasa mual rakyat dengan pemikiran peliknya apabila mengaitkan kejadian itu dengan ragam politik di Malaysia iaitu kerjasama UMNO dan Pas.
Kenyataan beliau itu dikecam teruk sehinggakan DAP sendiri terpaksa menegur keras wakil rakyatnya itu, meskipun Chong Sin lebih awal sudah menarik balik kenyataannya dan memohon maaf.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, walaupun Chong Sin menarik balik dan memohon maaf sebanyak tiga kali, namun kenyataan tersebut memberi kesan serius.
“Nasi sudah menjadi bubur dan saya menegur sikap beliau yang tidak sensitif. Parti amat memandang serius insiden ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Agak pelik juga Chong Sin masih ditegur walaupun sudah memohon maaf, sedangkan tuduhan beberapa pemimpin kanan DAP kononnya kerjasama UMNO-Pas ibarat ‘perang’ terhadap bukan orang Melayu dan kerajaan Taliban tidak pula mengundang teguran daripada pucuk pimpinan DAP.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang turut menegur Chong Sin berkata, jika benar tuduhan UMNO ekstrem, serakah politik DAP sudah

lama menyembah bumi.
Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md. Jais Sarday turut menasihati Chong Sin supaya menjaga Mengkibol daripada mengeluarkan kenyataan yang menambahkan kecelaruan rakyat.
Nasihat yang sama oleh Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin yang mahu rakyat tidak melihat isu itu dari segi agama dan ras, tetapi bersama-sama menentang keganasan tanpa mengira latar belakang.
Diharapkan Chong Sin berjiwa besar menerima teguran dan tidak lagi mempolitikkan segala perkara.











