KUALA TERENGGANU 16 Mac – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sentiasa bersedia untuk menambah jumlah anggota pasukan dari Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) bagi membantu operasi pembersihan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang dari semasa ke semasa.
Ketua Pengarahnya, Datuk Muhammad Hamdan Wahid berkata, setakat ini sebanyak lapan pasukan dari lapan negeri telah dikerah membantu operasi pembersihan di kawasan berkenaan dan jumlah itu adalah mencukupi.
‘‘Pasukan Hazmat menjalankan pemantauan 24 jam sehari di perimeter kawasan yang tercemar untuk dapatkan bacaan (tahap pencemaran) setiap masa bagi melihat perkembangan sisa bahan serta reaksi kimia.
‘‘Perkembangan ini perlu dilihat dari semasa ke semasa kerana bacaan selalu berubah disebabkan faktor tiupan angin dan sebagainya,’’ katanya selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan (PKJ) dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 di sini, hari ini.
Seramai 54 pegawai dan anggota menerima APC manakala enam individu yang dinobatkan sebagai Wira Darul Iman setelah menyelamatkan nyawa lima mangsa lemas di Pulau Warisan baru-baru ini dikurniakan PKJ atas jasa dan keberanian mereka.
Muhammad Hamdan berkata, JBPM mempunyai 18 pasukan Hazmat dengan kekuatan 180 anggota.
‘‘Dengan peralatan, kelengkapan, latihan serta kolaborasi kita dengan institusi antarabangsa, saya percaya kita mampu menangani kes-kes sebegini dalam negara.
‘‘Cumanya perlu ada satu kaedah pengurusan yang lebih efisien jika ia melibatkan pelbagai agensi,’’ katanya.











