SANDAKAN – Kepimpinan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) akan dirombak bagi memastikan pertubuhan itu berupaya menjadi ‘payung’ kepada golongan petani dan peladang.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, proses penstrukturan kembali pertubuhan itu sedang berjalan sejak Nafas bebas daripada penggantungan pada 15 Januari lepas.
“Kita nak buat perubahan besar. Saya mahu Nafas dan LPP menjadi payung kepada semua peladang kita tanpa ada unsur-unsur politik yang keterlaluan, penyelewengan dan salahguna kuasa.
“Saya mahu kepimpinan PPN di peringkat kawasan dan negeri serta Nafas di peringkat kebangsaan mempunyai pemimpin yang benar-benar bertanggungjawab dan mempunyai minat untuk memimpin ke satu era, di mana kita mampu memberikan apa juga pertolongan kepada petani dan peladang kita dengan cepat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat projek ternakan ketam lembut dalam sangkar yang diusahakan oleh seorang anggota Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sandakan di Kampung Bambangan dekat sini hari ini.
Menurut Salahuddin, pemilihan kepimpinan peringkat kawasan berlangsung bulan ini dan di peringkat negeri akan dijalankan pada Jun, manakala November dijadualkan untuk pemilihan di peringkat kebangsaan. – Bernama











