KUALA LUMPUR 16 Mac – Welson Sim meneruskan prestasi cemerlang dalam Kejohanan Renang New South Wales, Australia hari ini apabila merangkul pingat perak keduanya.
Jaguh renang kelahiran Kuching, Sarawak itu menamatkan perlumbaan 200 meter gaya bebas lelaki di tangga kedua dengan catatan masa satu minit, 48.21 saat.
Pingat emas dimenangi Kyle Chalmers dari Australia dengan masa 1:47.45s manakala gangsa milik seorang lagi perenang tuan rumah, Alexander Graham (1:48.38s).
Welson, 21, sebelum ini memecah rekod kebangsaan dalam acara 400m gaya bebas lelaki dengan catatan masa 3:49.29s untuk meraih pingat perak pertamanya semalam.
Aksi memberangsangkan Welson, yang ketika ini menjalani latihan di Melbourne sehingga Mei pasti menyuntik semangatnya untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo secara merit.
Welson akan beraksi dalam Kejohanan Dunia di Gwangju, Korea Selatan, Julai ini untuk mencari tiket Sukan Olimpik. – UTUSAN ONLINE











