Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengakui penamatan kontrak Telekom Malaysia (TM) sebagai penaja utama bakal menjejaskan peruntukan geran tahunan pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia (Liga M).
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam menjelaskan pihaknya akan mengadakan mesyuarat rasmi bersama pihak yang berminat untuk menjadi penaja dalam usaha mengatasi masalah tersebut secepat mungkin.
“Sudah tentu kita kena cari dana yang secukupnya bagi melancarkan perjalanan liga. Ia adalah tanggungjawab MFL dan saya hanya boleh menjawab soalan mengenai geran peruntukan tahunan kepada pasukan selepas mengadakan mesyuarat dengan pihak berminat.
“Buat masa ini, kami tidak ada lagi maklumat lengkap, apabila semuanya lengkap, kami akan dimaklumkan,” katanya semalam.
Pada masa sama, Kevin memberitahu, MFL sentiasa terbuka jika TM mahu membuat pusingan U demi bola sepak dan bukannya untuk kepentingan peribadi.
“Mereka kata akan buat keputusan selepas menamakan Ketua Pegawai Eksekutif baharu, malangnya sampai satu tahap kita perlu fikirkan masa depan dan pengurusan liga 2019.
“Keputusan telah dibuat dan jika ingin adakan perbincangan demi tanggungjawab bola sepak, kami akan dengar. Pintu perbincangan belum tertutup, tanggungjawab untuk bola sepak dan bukannya untuk peribadi,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Christopher Raj menjelaskan, semua pasukan Liga M tidak perlu khuatir berdasarkan kredibiliti yang ada pada MFL.
“Semua pasukan perlu yakin dengan kemampuan MFL yang diterajui Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mampu memberikan jalan penyelesaian serta dapat mengisi semula kekosongan yang ditinggalkan TM berdasarkan kemampuan yang mereka ada.
“Pastinya selepas ini banyak lagi pihak penaja akan tampil kerana sememangnya tiada keraguan untuk mereka melabur di bawah kepimpinan Tunku Ismail,” jelasnya.











