KUALA LUMPUR 16 Mac – Badan Peguam Malaysia hari ini memilih Abdul Fareed Abdul Ghafoor sebagai presiden baharu bagi penggal 2019/2020.
Menurut sumber yang dipetik oleh Malaysiakini, peguam yang bertugas di Pulau Pinang itu pernah menjadi naib presiden Badan Peguam dan sebelum itu mempengerusikan Badan Peguam di Pulau Pinang.
Setiausaha kehormat, Roger Chan Weng Keng pula dipilih sebagai naib presiden baharu, manakala, Surindar Singh dipilih sebagai setiausaha dan bendahari pula dipegang oleh Salim Bashir Bhaskaran.
Badan Peguam Malaysia mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-73 di Dewan San Choon, Wisma MCA, di sini hari ini.
Menurut The Star hari ini, AGM Badan Peguam juga dijangka membincangkan afidavit Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer yang membuat dakwaan salah laku kehakiman.
Hamid mendakwa beberapa contoh ketidakadilan kehakiman dan menuduh hakim tertentu bersubahat dengan ahli politik dan entiti swasta untuk menipu dana awam, menyebabkan kerajaan membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai perkara itu.
Presiden Badan Peguam, George Varughese juga membentangkan dua usul untuk diundi, salah satunya menyeru agar pemansuhan segera undang-undang zalim dan satu lagi menggesa supaya Jawatankuasa Reformasi Institusi kepada kerajaan didedahkan kepada awam. -UTUSAN ONLINE











