RANTAU PANJANG 16 Mac – Hampir 1,000 umat Islam berkumpul di Masjid Beijing di sini selepas solat Jumaat semalam bagi menyatakan solidariti bersama umat Islam di New Zealand dan menbantah penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.
Perhimpunan bersama yang dianjurkan oleh Pemuda Pas dan UMNO turut mengutuk sekeras-kerasnya tragedi yang berlaku di Christchurch, New Zealand.
Yang turut hadir, Ketua Pemuda UMNO, Noor Hariri Mohd. Noor; Ketua Pemuda Pas, Nohd. Fadhli Shaari; Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd. Yusoff; Ahli Dewan Undangan Negeri Gual Periok, Datuk Mohamad Awang; Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Akbar Salim dan Ketua Penerangan Pemuda Pas negeri, Nazman Che Ibrahim.

Sementara itu, Nazman berkata, Islam menganjurkan perdamaian dan keamanan sejagat serta menolak sama sekali segala bentuk tindakan yang membawa kepada perpecahan.
“Apa yang berlaku di New Zealand memberikan pengajaran yang amat berguna kepada ini. Tindakan gila si pelaku ini adalah benih Islamophobia yang disemai oleh barat sejak sekian lama.

“Benih-benih itu juga sudah merebak ke negara ini dan perlu ditangani segera kerana Islam amat bertentangan dengan apa yang mereka fahami. Islam adalah agama suci yang menganjurkan kepada kebaikan, perpaduan dan hormat menghormati,” katanya di sini hari ini.

Katanya, mereka berharap kerajaan memandang berat perkara ini dan tidak membiarkan benih kebencian hasil didikan barat terus merebak ke negara ini apatah lagi sejak akhir-akhir ini penghinaan terhadap Rasulullah SAW semakin ketara. – UTUSAN ONLINE











