Saban hari, pelaku seni bernama Mawi tidak pernah surut idea dan keringat mendepani kelangsungan hidupnya. Ada sahaja idea tak terjangkau dek akal yang menerjah di kotak fikirannya.
Sudah bergelar penyanyi, pelakon, penyampai radio dan pengarah telemovie, lelaki yang pernah mencipta gelombang Tsumawi dan Mawi World serta meraih tiga kali Anugerah Bintang Paling Popular itu kini melangkah lebih jauh apabila buat pertama kalinya mengarah dan menerbitkan filem berjudul, Tiada Tajuk.
Ya, itulah judul filem pertama yang dihasilkan pemilik nama sebenar Asmawi Ani itu. Kedengaran sedikit mengelirukan dan pelik, namun berpaksikan judul itu penonton dapat meraih hadiah berupa kereta Perodua Bezza, motosikal Yamaha Y15, pakej umrah dan percutian ke Australia.
“Sudah tentu saya mahu hasilkan sebuah filem yang lain daripada lain. Itu yang tiba-tiba terpacul idea untuk meletakkan judul Tiada Tajuk dalam filem pertama arahan terbitan saya ini.
“Ada keistimewaanya saya meletak judul berkenaan. Hal ini kerana, saya mahu penonton sendiri yang menilai dan seterusnya memberikan tajuk yang bersesuaian untuk filem saya itu, sekali gus mereka dapat memenangi pelbagai hadiah lumayan bernilai RM100,000 menerusi peraduan yang berlangsung sepanjang filem Tiada Tajuk ditayangkan di pawagam,” ungkapnya.
Sambutan
Tidak diamuk rasa gelisah memikirkan sambutan terhadap filem pertama terbitannya itu, lelaki berusia 38 tahun itu sudah cakna akan segala kemungkinan, namun tidak sekali-kali dia akan mengalah untuk terus menghasilkan filem lagi selepas ini.
“Bohong juga kalau saya tidak risau tentang sambutan filem pertama saya ini. Cuma, saya juga tidak mahu menidakkan penonton setia daripada telemovie Rock Sangkut yang akan menonton kesinambungan kisah tiga sahabat lakonan Hazama, Along Cham, Joey Daud yang bercita-cita menjadi penyanyi,” ujarnya yang pernah menghasilkan telemovie Rock Sangkut pada 2014.
Selain mengekalkan ketiga-tiga pelakon tersebut sebagai teraju utama, Mawi sendiri turut berlakon dalam filem berkenaan dan bergandingan dengan adik kepada Faizal Tahir iaitu Anas Tahir.
Ditebak mengenai pemilihan pelakon yang sama untuk telemovie dan filemnya, Mawi tidak menafikan akan perkara itu lantaran dia memang memilih pelakon yang boleh ‘masuk’ dengan dirinya.
“Sebelum ini, saya selalu dengar pengarah Syamsul Yusof, Mamat Khalid dan Datuk Afdlin Shauki, sering dituduh memilih kroni untuk filem-filem mereka. Apabila saya duduk di tempat yang sama dengan mereka, baru saya faham. Jujur kata, lagi senang bikin filem dengan orang yang kita sudah kenal,” ulasnya mengenai neraca hidup yang perlu dibuat demi kelancaran sebuah kerja.
Siap menghasilkan filem pertamanya dan hanya menunggu masa tayangan, ironi ia bukan satu kelana yang mudah untuk Mawi menghasilkan filem tersebut.
Kata anak kelahiran Kulai, Johor itu, dia berhadapan dengan pelbagai cabaran sepanjang menghasilkan filem berkenaan.
Namun begitu, bekas juara rancangan realiti televisyen Akademi Fantasia Musim 3 (AF3) itu juga beranggapan ia sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran untuk dirinya.
“Kalau ikutkan saya mahu menyudahkan filem ini selama 25 hari, namun ia meleret sehingga 30 hari penggambaran. Selepas proses penyuntingan, filem berkenaan berdurasi tiga jam. Jadi, saya terpaksa pula menyuntingnya untuk menjadikan durasi filem berkenaan lebih singkat iaitu selama sejam 41 minit.
“Pada masa sama, untuk filem sulung ini, saya tidak meletakkan harap yang terlalu tinggi, hanya sekadar berharap penonton suka dan menerima naskhah ini,” ujarnya yang memberitahu, penonton boleh mencipta tajuk yang bersesuaian untuk filemnya dan memenangi hadiah dengan memuat turun aplikasi Mawi World.
Senang bekerja
Sementara itu, bagi salah seorang pelakonnya iaitu Along Cham pula, dia mengakui selesa untuk bekerja di bawah arahan Mawi.
“Tidak dinafikan sepanjang berlakon dalam filem tersebut saya sangat senang bekerja dengan Mawi dan melihat dia sebagai seorang pengarah yang ada misi dan visinya yang tersendiri.
“Untuk filem ini juga, Mawi pandai mengimbangkan watak saya dan rakan-rakan yang lain agar kelihatan sama rata. Tiada yang overshadow siapa dalam filem ini. Saya tak overshadow Joey atau Hazama dan begitu juga sebaliknya,” ujarya.
Tiada Tajuk mengisahkan mengenai tiga orang sahabat dari kampung, dianggap sebagai ‘kutu’ yang mana bercita-cita untuk menjadi artis terkenal. Banyak dugaan dilalui sepanjang perjalanan mereka ini. Adakah mereka berjaya menjadi artis terkenal? Temui jawapannya menerusi tayangan filem yang bakal mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia menjelang 4 April ini.
Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
Foto MOHD. FARIZWAN HASBULLAH dan MAWI WORLD ENTERTAINMENT











