GEORGE TOWN – Anak sulung salah seorang rakyat Malaysia yang cedera dalam serangan masjid di Christchurch, New Zealand semalam masih dalam keadaan trauma dan memerlukan perhatian khusus ibunya, kata bapa saudaranya di sini hari ini.
Rosdi Ahmad, 42, berkata, anak saudaranya, Ahmad Razif Rahimi, 11, yang tidak mengalami kecederaan luaran dalam insiden itu masih ketakutan kerana menyaksikan sendiri kejadian itu semasa berada di Masjid Al-Noor.
Katanya adik iparnya, Nor Azila Abdul Wahid, 39, yang juga isteri kepada adiknya, Rahimi yang tercedera dalam insiden itu, memaklumkan Ahmad Rafiz tidak mahu bersama orang lain kecuali ibunya selepas kejadian itu.
“Selain itu, Nor Azila juga memberitahu Rahimi telah menjalani pembedahan kedua iaitu membuang peluru yang terkena tulang belakangnya pagi ini dan dia masih belum sedar namun dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.
Rosdi ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebelum berlepas ke Christchurch, New Zealand petang ini bersama-sama ibunya, Rokiah Mohammad dan dua wakil kerajaan Pulau Pinang, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz. – Bernama











