Lelaki warga emas hidap strok maut dalam kebakaran - Utusan Malaysia

Lelaki warga emas hidap strok maut dalam kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Seorang lelaki warga emas yang menghidap strok meninggal dunia dalam kebakaran yang melibatkan lima buah rumah di Kampung Panchor, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, mangsa, Ibrahim Ali, 60-an, meninggal dunia  dalam kediamannya selepas gagal diselamatkan kerana api marak.

Menantu mangsa, Haslizan Yacob, 31, berkata, semasa kebakaran itu berlaku dia bersama dua anaknya berusia setahun dan tiga tahun berada di ruang tamu manakala bapa mentuanya berada di dalam bilik.

“Tiba-tiba saya melihat api di bilik bapa mentua dan api berkenaan turut menyambar tilam serta sofa yang berada berdekatan.

“Saya begitu panik berikutan api terlalu cepat merebak dan saya keluar dari rumah untuk menyelamatkan dua anak saya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, dia menjerit meminta pertolongan daripada jiran-jiran untuk menyelamatkan bapa mentuanya.

Jelasnya, orang ramai telah berusaha masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan bapa mentuanya itu namun tidak mampu berbuat apa-apa berikutan api terlalu besar.

Katanya, suaminya, Mohd. Norfarizal Ibrahim, 34, yang bergegas pulang dari tempat kerja juga tidak sempat juga menyelamatkan bapanya.

“Suami saya sedaya upaya masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkannya namun tidak berhasil sehingga dia mengalami kecederaan pada tangan dan dahi sebelum dibawa ke hospital,” ujarnya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba Pengkalan Chepa, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Fakri Mazlan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 6.28 petang.

Katanya, kebakaran itu melibatkan lima buah rumah separuh kekal berkonsep setinggan dan seorang mangsa meninggal dunia serta seorang mengalami kecederaan.

“Operasi ini melibatkan 36 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Pengkalan Chepa dan Kota Darul Naim menggunakan empat buah jentera,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×