PUTRAJAYA 15 Mac – Malaysia merupakan negara pertama di Asia Pasifik yang melancarkan Sistem Pemantau Kemajuan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Kebangsaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, buat julung kalinya sistem itu bakal menjadi pusat sehenti data maklumat berhubung perjalanan dan kemajuan SDG di negara ini.
“Data yang terdapat dalam sistem ini menyeluruh dengan meliputi aspek daripada peringkat kebangsaan sehingga ke daerah.

“Ia menawarkan data-data pelbagai aspek dengan memfokuskan bidang-bidang SDG antaranya sosial, alam sekitar dan pembangunan ekonomi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Sistem Pemantau Kemajuan SDG Kebangsaan, di sini hari ini.
Majlis Pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Mikro) Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Zakiah Jaafar.
Mohd. Uzir menambah, sistem berkenaan yang dihubungkan dengan portal Jabatan Perangkaan secara permulaan menawarkan data-data SDG daripada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.
Katanya, data-data daripada pelbagai agensi dan kementerian lain akan dibuat secara berperingkat menjelang hujung tahun ini.
“Berdasarkan slogan SDG ‘tiada yang terpinggir’ sistem ini mampu memberi data statistik kepada semua pihak untuk merancang dan mengenal pasti segala permasalahan rakyat,” katanya.
Pada masa sama, Wakil Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) untuk Malaysia dan Thailand, Marcelo Suazo berkata, pihaknya memuji langkah negara ini kerana mewujudkan sistem tersebut bagi memantau perjalanan SDG masing-masing.
Katanya, data seumpama itu adalah penting untuk memberi peluang kepada semua pihak mengenal pasti aspek perlu diperbaiki sejajar menuju Agenda SDG 2030.











