ALOR SETAR – Keluarga Mohd. Tarmizi Shuib, 42, yang cedera dalam insiden tembakan rambang di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand hanya mampu berharap agar mangsa segera pulih, manakala anaknya yang masih hilang dapat ditemui dalam keadaan selamat.
Kakak mangsa, Zarina Shuib, 53, berkata, adiknya berhijrah ke New Zealand sejak setahun setengah yang lalu selepas anak sulungnya yang berusia 19 tahun mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di negara itu.
“Saya hanya tahu berita ini dalam pukul 1.30 tengah hari setelah diberitahu oleh adik yang tinggal di Pulau Pinang. Kami tergamam dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan kerana dah cuba hubungi isteri Mohd. Tarmizi tapi tak dapat.
“Buat masa ini kami hanya mampu berdoa agar semuanya selamat dan berharap Haziq (anak kedua Mohd. Tarmizi yang berusia 17 tahun) dapat ditemui dalam keadaan selamat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Hutan Kampung dekat sini, hari ini.
Zarina berkata, kali terakhir dia bertemu Mohd. Tarmizi ialah pada November tahun lalu ketika mereka sekeluarga pulang bercuti ke Malaysia.
Zarina berkata, semasa Mohd. Tarmizi memaklumkan mereka sekeluarga akan berhijrah ke New Zealand, dia ada menasihatinya agar berfikir secara mendalam memandangkan mereka akan tinggal di negara asing.
“Saya memang ada naluri, rasa tak sedap hati, tapi dia kata OK sebab sebelum berhijrah ke sana mereka memang pernah tinggal di sana sebelum ini.
“Mereka sekeluarga duduk di sana dalam tiga empat tahun juga masa isteri dia sambung PhD di sana, jadi mereka memang sudah biasa dengan keadaan di sana, tak sangka nak jadi macam ni.
“Dia berhenti kerja, isteri dia dulu pensyarah di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) pun bersara awal sebab nak berhijrah ke sana, mereka masing-masing dapat kerja di sana,” katanya yang memberitahu Mohd. Tarmizi merupakan anak bongsu daripada enam beradik.
Menurutnya, Mohd. Tarmizi mempunyai empat anak iaitu seorang perempuan dan tiga lelaki. – Bernama











