Gara-gara ingin berswafoto, lelaki terjatuh ke sungai - Utusan Malaysia

Gara-gara ingin berswafoto, lelaki terjatuh ke sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Mac- Seorang lelaki nyaris maut selepas memanjat pagar keselamatan Jambatan Darul Hana, Kuching, Sarawak ketika ingin berswafoto, malam tadi.

Memetik laporan Berita Harian, sumber memberitahu kejadian berlaku kira-kira pukul 8.50 malam ketika mangsa mahu merakam gambarnya di atas jambatan ikonik itu dengan berlatarbelakangkan pemandangan indah bandar Kuching.

Difahamkan, kejadian disedari orang ramai yang mengunjungi jambatan pejalan kaki itu, yang menghubungkan Tebingan Kuching dan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, sebelum bergegas menghulurkan bantuan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Lelaki berusia 36 tahun itu yang berasal dari Miri bernasib baik apabila diselamatkan pengusaha perahu tambang yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

“Difahamkan, mangsa cuba memanjat pagar untuk bergambar, namun tergelincir lalu terjatuh ke sungai dari paras ketinggian kira-kira 10 meter,” lapor Berita Harian.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 9 malam dan 10 anggota termasuk dua dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

Bagaimanapun, ketika tiba pihak bomba mendapati lelaki berkenaan sudah diselamatkan orang awam.

“Mangsa diberi rawatan awal oleh Unit EMRS sebelum pasukan perubatan tiba di lokasi kejadian. Mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh pihak perubatan untuk rawatan dan tindakan selanjutnya,” katanya.

Kejadian itu adalah yang kedua berlaku sejak jambatan berkenaan dibuka kepada orang ramai pada November 2017.

Pada 14 Mei tahun lalu, seorang pelajar lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh di kawasan tengah jambatan berkenaan ketika bermain bersama beberapa rakannya kira-kira pukul 8 pagi.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini