KUALA LUMPUR 15 Mac – Lebih 10,000 Tiket Kejohanan Empat Negara Piala Airmarine 2019 Yang Akan Bermula Dari 20 Hingga 23 Mac Ini Di Stadium Nasional, Bukit Jalil Telah Terjual Setakat Ini.
Pengarah Teknikal Piala Airmarine, M. Gopal berkata, jumlah tersebut akan meningkat setiap hari dengan kemuncaknya adalah pada perlawanan pembukaan melibatkan Malaysia menentang Singapura pukul 8.45 malam.
“Penjualan tiket buat masa ini kurang memberangsangkan. Tetapi tidak mengapa kerana budaya orang Malaysia akan membeli tiket pada hari perlawanan kebiasaannya.
“Anda sendiri boleh faham situasi budaya kita bahawa tiket akan dibeli pada saat-saat akhir.
“Isnin ini kami akan buka pintu venue perlawanan. Jadi mereka boleh membelinya di sana. Saya harap ramai akan hadir memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya,” katanya selepas majlis agihan tiket kepada pelajar sekolah di Petaling Jaya di sini hari ini.
Airmarine Malaysia (MALAYSIA) Sdn. Bhd. yang merupakan sebuah syarikat logistik terkemuka telah tampil ke hadapan untuk merancakkan saingan bola sepak membabitkan pasukan kebangsaan dengan memperkenalkan kejohanan Piala Airmarine.
Kejohanan edisi sulung itu akan menampilkan Malaysia selaku tuan rumah, Singapura, Oman dan Afghanistan, dengan kejohanan tersebut turut berada dalam kalendar perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangasa (FIFA).
Piala Airmarine akan menjadi platform untuk memberi saingan yang lebih kompetitif buat skuad kebangsaan bagi memanfaatkan kalendar perlawanan antarabangsa FIFA untuk meraih seberapa banyak pendedahan dan juga mata untuk memperbaiki kedudukan di dalam ranking antarabangsa FIFA.
Mengulas berhubung majlis tersebut, Gopal memberitahu, usaha murni itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial pihaknya.
“Pelajar perlu membawa kad pelajar semasa pembelian tiket di kaunter yang disediakan. Sebanyak 5,000 keping tiket pelajar telah disediakan,” katanya.- UTUSAN ONLINE











