KUALA LUMPUR 15 Mac – Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak dihantui kekecewaan pada Piala AFF di Vietnam tahun lalu, sebaliknya mahu menjadikan Piala Airmarine sebagai pengubat duka.
Ujar Cheng Hoe, Malaysia perlu membuka buku baharu dan memberi fokus terhadap kejohanan empat negara itu yang akan berlangsung pada 20 hingga 23 Mac ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
“Saya tak nak ada pemain dalam senarai awal 25 pemain ini tertekan berdasarkan prestasi kita pada tahun lalu.
“Perkara ini sudahpun berlaku dan menjadi sejarah. Kali ini, kita perlu membuka lembaran baharu menjelang saingan Piala Airmarine.
“Saya harap pemain mampu menyahut cabaran baharu pada 2019 kerana saya jangkakan saingan yang akan datang akan lebih mencabar,” katanya selepas majlis agihan tiket Piala Airmarine kepada pelajar sekolah di Petaling Jaya, dekat sini hari ini.
Airmarine Malaysia (MALAYSIA) Sdn. Bhd. yang merupakan sebuah syarikat logistik terkemuka telah tampil ke hadapan untuk merancakkan saingan bola sepak membabitkan pasukan kebangsaan dengan memperkenalkan kejohanan Piala Airmarine.
Kejohanan edisi sulung itu akan menampilkan Malaysia selaku tuan rumah, Singapura, Oman dan Afghanistan, dengan kejohanan tersebut turut berada dalam kalendar perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangasa (FIFA).
Piala Airmarine akan menjadi platform untuk memberi saingan yang lebih kompetitif buat skuad kebangsaan bagi memanfaatkan kalendar perlawanan antarabangsa FIFA untuk meraih seberapa banyak pendedahan dan juga mata untuk memperbaiki kedudukan di dalam ranking antarabangsa FIFA.- UTUSAN ONLINE











