PUTRAJAYA 15 Mac – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengecam kejadian tembakan yang berlaku di dua buah Masjid di Christchurch, New Zealand (NZ) hari ini.
Beliau yang melahirkan rasa amat sedih dan terkilan dengan kejadian itu turut berharap agar pihak yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan.
“Salam Takziah kepada keluarga mangsa yang telah terkorban. Semoga keadaan akan kembali aman di New Zealand,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Stuff New Zealand melaporkan, sembilan disahkan terbunuh dalam kejadian tembakan rambang di Masjid Al Noor dekat Deans Ave dan Masjid Linwood di Linwood Ave.
Seorang warga Malaysia turut dilaporkan terkena tembakan dalam insiden serangan itu.
Lapor NZ Herald yang memetik saksi, Idris Khairuddin sebagai berkata, bapa saudaranya, Tamizi ditembak pada bahagian belakang. – UTUSAN ONLINE











