SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 10 Mei depan sebagai tarikh pendengaran rayuan bekas Pakar Patologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Dr. R. Kunaseegaran berhubung hukuman rasuahnya.
Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa memutuskan demikian selepas bersetuju cadangan Peguam Liu Mei Ching mewakili Kunaseegaran sebagai perayu mengenai rayuan semakan hukuman penjara lima tahun dan denda RM7 juta oleh Mahkamah Sesyen, tahun lalu.
Terdahulu, dalam prosiding itu Mei Ching memaklumkan pihaknya telah menerima lima jilid nota keterangan dan mencadangkan tarikh- tarikh untuk memfailkan hujahan.
“Sekiranya diizinkan, saya mencadangkan agar pihak perayu memfailkan hujahan terlebih dahulu dan responden boleh membuat hujahan balas.
“Tarikh yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak adalah 12 April untuk perayu memfailkan hujahan dan 3 Mei sebagai hujahan balas oleh responden,” katanya.
Responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norzilawati Izhani Zainal.
Pada 25 Jun 2018, Kunaseegaran dijatuhi hukuman tersebut selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap dua pertuduhan meminta dan bersetuju menerima suapan RM700,000 daripada pemilik sebuah syarikat pembekal perubatan swasta, enam tahun lalu.
Kunaseegaran dihukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta SPRM 2009 yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Mahkamah turut memerintahkan Kunaseegaran, 56, yang juga tertuduh dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais, menjalani hukuman penjara tambahan selama empat tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut. – K! ONLINE











