KOTA TINGGI – Dua warga tempatan diberkas polis petang semalam, dipercayai kerana aktif menjual sijil sakit palsu dengan harga murah di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, seorang lelaki warga tempatan berumur 29 tahun dan seorang wanita berusia 21 tahun, yang dipercayai sebagai dalang menjual sijil cuti sakit palsu kepada orang ramai.
“Kedua-dua suspek dipercayai bergiat aktif sejak tahun lepas menjual sijil cuti sakit palsu di sekitar daerah Kota Tinggi, Kulai dan Johor Bahru.
“Kedua-dua suspek menawarkan khidmat mereka melalui aplikasi WhatsApp kepada pekerja swasta dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Ahsmon, setiap sijil tersebut dijual dengan harga antara RM30 hingga RM45 sekeping bergantung kepada butiran hari cuti di dalam sijil sakit berkenaan. – Bernama











