KUALA LUMPUR 15 Mac – Gred Purata Sekolah (GPS) bagi Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin, Klang (SAMTSH) dekat sini melonjak naik daripada 3.63 kepada 3.09 tahun ini.

GPS bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu sekali gus meletakkan SAMTSH sebagai sekolah kedua terbaik dalam daerah Klang tahun ini selepas Kolej Islam Sultan Alam Shah.
Pengetua SAMTSH, Hashim Fahmi Ahmad Shauki berkata, peningkatan itu hasil daripada program ‘Nota, Enam Langkah Kejayaan dan Kelas Berkumpulan’ (NEG) yang dilaksanakan tahun lalu.
“Banyak projek kami laksanakan antaranya program hati ke hati dengan setiap calon, ada ‘Nota’ iaitu setiap pelajar perlu sentiasa membawa nota supaya setiap ilham atau idea yang diperoleh ketika berada di mana-mana boleh dicatatkan.
“Saya jumpa setiap kelas peperiksaan bagi nasihat dan sokongan, galakkan mereka buat perbincangan berkumpulan khususnya yang tinggal di asrama agar ilmu itu dapat dikongsi bersama,” katanya ketika ditemui Utusan Online, semalam.
SAMTSH merupakan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan menduduki carta ketiga bagi SABK Selangor dengan tempat pertama serta kedua masing masing adalah Sekolah Agama Menengah Bestari, Subang Jaya (Sambest) dan Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ), Shah Alam.
Seramai 195 calon menduduki SPM di sekolah itu dengan tiga pelajar aliran sains mendapat 11A dan seorang calon aliran sastera meraih keputusan 10A. – UTUSAN ONLINE










