JOHOR BAHRU 14 Mac – Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengenal pasti beberapa perkara dalam menangani isu pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang dekat sini.
Sultan Johor bertitah, jawatankuasa tersebut juga perlu merangka satu prosedur operasi standard (SOP) supaya dapat dipatuhi oleh semua pihak kelak bagi memastikan kejadian seperti itu tidak lagi berulang di Johor.

Tegas baginda, perkara lain yang perlu diutamakan juga adalah pembangunan sistem amaran awal sekiranya berlaku pencemaran udara mahu pun air.
“Dengan adanya sistem berkenaan, sekiranya berlaku apa-apa pencemaran sama ada di udara atau air, maka pihak berkuasa dapat memberi amaran awal kepada penduduk.
“Pada masa sama, penduduk juga dapat membuat persiapan awal, manakala pasukan kecemasan atau pihak berkuasa dapat bergerak lebih awal,” titah baginda yang dimuat naik dalam akaun Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di sini hari ini.
Terdahulu, baginda berkenan berangkat ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini dan meluangkan masa melawat mangsa-mangsa pencemaran sisa toksik yang sedang mendapatkan rawatan kira-kira setengah jam.
Sementara itu, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan sumbangan berjumlah RM1 juta bagi memperhebatkan operasi menyelamat, merawat serta mencegah pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang.
Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang dipetik dalam akaun Facebook Sultan Ibrahim bertitah, sumbangan itu juga membolehkan agensi penyelamat serta pihak berkuasa yang terbabit dalam operasi dapat memperlengkapkan pasukan masing-masing dengan kemudahan yang di perlukan.
“Tuanku Sultan ada membincangkan perkara ini dengan saya sebagai Penasihat DiRaja Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan baginda juga amat tersentuh apabila mendengar sebuah klip rakaman di mana seorang lelaki menangis sambil meminta bantuan menyelamatkan anaknya.
“Tuanku Sultan turut berpendapat dengan kurniaan sumbangan peribadi baginda, ini dapat membantu pihak berkuasa serta agensi penyelamat seperti bomba dan polis melengkapkan pasukan mereka demi membantu rakyat,” titah baginda.











