SHAH ALAM 14 Mac – Tidak ramai yang bertuah seperti Syed Nurshadir Syed Ibrahim dan isteri, Saidatul Nazura. Selepas dikurniakan anak kembar empat yang jarang-jarang berlaku, hari ini kesemua kembar itu mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sharifah Nazira Syed Nurshadir; Syed Nazrin; Syed Nadzmi dan Sharifah Nadira masing-masing mendapat 5A, 8A, 3A serta 7A.
Sharifah Nazira, Syed Nadzmi dan Sharifah Nadira bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9 di sini, manakala Syed Nazrin pula bersekolah di Sekolah Menengah Datuk Abdul Razak Seremban.
Menurut Sharifah Nazira, kejayaan dia dan adik-adiknya adalah hasil kerjasama, yang mana mereka sentiasa belajar secara bersama-sama dan saling membantu antara satu sama lain.
‘‘Apa yang penting kami semua fokus untuk berjaya di dalam pelajaran dengan cara bantu-membantu satu sama lain.
‘‘Walaupun ada masanya kami belajar bersendirian, apa yang penting semangat bantu-membantu tetap jadi keutamaan kami adik-beradik,’’ katanya ketika ditemui di SMK Seksyen 9 hari ini.
Sementara itu, Syed Nazrin yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang ekonomi berkata, dia dan adik-beradik kembarnya merasa puas kerana dapat menghadiahkan keputusan SPM yang baik kepada kedua-dua ibu bapa mereka.
‘‘Walaupun kembar tetapi kami mempunyai cita-cita berlainan. Sharifah Nazira ingin berjaya dalam bidang kesenian dan fesyen, Sharifah Nadira ingin menceburi bidang komunikasi dan multimedia dan Syed Nadzmi ingin menjadi arkitek,’’ katanya.










