Langkah diambil seperti darurat - Utusan Malaysia

Langkah diambil seperti darurat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Mac – Dewan Rakyat dimaklumkan pelbagai tindakan telah diambil pihak berwajib termasuk bantuan daripada Kerajaan Pusat bagi mengawal krisis pencemaran toksik di Pasir Gudang, Johor, meskipun tanpa pengisytiharan darurat.

Hal itu diberitahu dalam sidang Dewan Rakyat hari ini ketika usul tergempar mengenai perkara tersebut dibahaskan.

AHMAD MASLAN
AHMAD MASLAN

Perbahasan usul membabitkan wakil penyokong kerajaan dan pembangkang mencadang­kan beberapa langkah perlu diambil terutama mengisytiharkan darurat bencana, pembayaran pampasan kepada mangsa serta mendesak pindaan undang-undang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Usul itu dicadangkan oleh Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) dan dibahaskan serta disokong oleh wakil pembangkang, Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-Kubang Kerian) dan penyokong kerajaan, Steven Choong Shiau Yoon (PH-Tebrau).

Perbahasan kemudian dijawab oleh enam menteri bermula dengan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bagi menjelaskan tindakan segera unit di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk ke lokasi bencana dan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang memaklumkan beberapa usaha memastikan murid dan pelajar sekolah serta guru tidak terdedah kepada kesan bencana.

“Saya ingin mengumumkan beberapa perkara iaitu pasukan tentera Kimia, Biologi, Radioaktif dan Nuklear (CBRN) telah berada di kawasan tersebut dan sedang bekerja kuat untuk mencari, mengenal pasti dan cuba menghilangkan kesan yang sedang berlaku itu.

“Begitu juga dengan Unit Kecemasan Tempur sudah berada di sana,” kata Mohamad.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
TUAN IBRAHIM TUAN MAN

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menjelaskan mengenai beberapa isu yang dihadapi kementeriannya selain nasihat kepada bagi menghadapi kesan pencemaran dan serta tidak memuat naik maklumat palsu dalam laman sosial.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salehuddin Ayub pula menjelaskan komitmen kementeriannya bagi berdepan bencana manakala Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Isnaraissah Munirah Majilis mengenai tahap pencemaran yang berlaku serta langkah-langkah kawalan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin yang terakhir menggulung perbahasan usul berkenaan memaklumkan, lang­kah-langkah yang telah dibuat kerajaan ketika ini sudah seperti langkah dalam keada­an Pasir Gudang diisytiharkan darurat.

“Untuk makluman semua, walaupun tidak lagi berpendapat perlu adanya darurat, kita telah pun menjalankan kerja seolah-olah ada darurat,” katanya.

Yang Dipertua Dewan Rak­yat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof menangguhkan sidang mengikut Peraturan 18 (1) tanpa membuat keputusan usul diterima atau ditolak.

STEVEN CHOONG SHIAU YOON
STEVEN CHOONG SHIAU YOON

Ketika bercakap dengan pemberita, Mohamed Hanipa menjelaskan, di bawah Arahan 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN) terdapat beberapa syarat sebelum darurat bencana boleh diluluskan antaranya perlu mempunyai permintaan daripada kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri perlu memohon kepada Jawatankuasa Bencana Pusat dan permintaan itu akan diteliti sebelum dirujuk kepada Perdana Menteri kerana hanya beliau sahaja yang boleh membuat keputusan.

“Kalau kira secara literal, tolak usul tapi sebenarnya kita tidak terima sebab kalau tolak sepenuhnya kita tolak juga dibahaskan tapi kita terima untuk dibahaskan tetapi hasilnya ialah permintaan untuk darurat tidak diterima,” katanya.

Krisis pencemaran toksik itu dijangka dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet esok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini